I'm stealing essays online, hihi. I'm gonna memorize all of these essays and hopefully, one day, it will do me good. One of these essays I'm memorizing are bound to come out right? Lol lame strategy but I did this for my midterm exams and it did help.
Copyright: http://mindabahasa.wordpress.com
Contoh Karangan : Gejala Merokok Dalam Kalangan Remaja
Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato’ Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006.
Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan.
Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan.
Kempen antimerokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan “Tak Nak!” Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan “tak nak kepada rokok.” Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji. Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja.
Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.
Contoh Karangan : Kesihatan Asas Kebahagiaan
“Kesihatan melambangkan kekayaan” dan “Badan sihat, otak cerdas” sering diungkapkan oleh orang ramai. Oleh itu, kesihatan amat penting kepada kita dan kita wajar menjaganya dengan sempurna. Kita sanggup melakukan pelbagai aktiviti untuk mencapai tahap kesihatan optimum seperti mengambil pelbagai produk kesihatan dan ubat-ubatan.
Langkah pertama yang perlu kita amalkan untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang setiap hari. Justeru, kita harus mengambil makanan daripada semua kelas makanan pada kadar yang betul seperti yang disyorkan oleh piramid makanan. Antara makanan yang berkhasiat termasuklah sayur-sayuran yang kaya dengan serat dan vitamin, bijirin, buah-buahan, hidupan laut, dan hasil tenusu yang membekalkan protein. Kita harus memastikan bahawa kita hanya mengambil makanan yang berkualiti sahaja.
Selain pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat, kita perlu beriadah dan melakukan senaman atau bersukan. Hal ini perlu ditekankan sekiranya kita jarang melakukan kerja berat. Dengan beriadah atau bersukan, kita dapat menggerakkan otot badan dan membolehkannya berfungsi dengan baik. Di samping itu, kita juga dapat membakar lemak yang berlebihan dan mengeluarkan peluh. Aktiviti bersenam juga dapat melancarkan pengaliran darah dalam tubuh ke jantung dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Pihak kerajaan menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti sukan untuk mencegah seseorang daripada menghidapi kencing manis, sakit jantung, dan tekanan darah tinggi.
Akhirnya, ubat yang paling mujarab untuk mengekalkan kesihatan seseorang adalah dengan mempunyai rehat dan tidur yang secukupnya. Setiap orang digalakkan tidur tidak kurang daripada enam jam sehari. Kita juga harus berehat bagi mengekalkan kesihatan yang stabil. Orang yang tidak mempunyai rehat yang cukup tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang dilakukan dan melaksanakannya dengan baik. Malah mereka mudah berasa letih dan senang jatuh sakit. Oleh yang demikian, masa sekurang-kurangnya lapan jam sehari diperuntukkan untuk berehat dan tidur amat perlu ditekankan.
Kesimpulannya, kerajaan amat menitikberatkan kesihatan rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan di samping melancarkan kempen “Rakyat Sihat, Negara Maju.” Rakyat yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif. Justeru, setiap rakyat harus bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri seperti kata cogan kata mencegah lebih baik daripada merawat.
Contoh Karangan : Pencemaran Sungai
Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.
Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka diami adalah milik mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.
Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran, Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing.Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun.Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun, jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian.
Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan sampah. Kalau diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai. Ramai ketika itu menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis. Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.
Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar.Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.
Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap diteruskan.Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya, apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.
Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.